"Bagi saya beliau (Ong) masih lagi Ketua Pemuda MCA (dalam Pemuda BN). Bagi saya beliau masih lagi Timbalan Menteri Belia dan Sukan.
"Saya tidak teragak-agak, kalau perlu bantu beliau mengenai apa juga kekurangan dan kelemahan dan masalah yang dihadapi Pemuda MCA," katanya ketika diminta mengulas kedudukan Ong dalam Pergerakan Pemuda BN berikutan penggantungan jawatankuasa pusat Pemuda MCA oleh kepimpinan parti itu pada Khamis lepas.
Hishammuddin ditemui pada majlis rumah terbuka Ketua Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Kuala Pilah, Abdul Samad Ibrahim di Taman Murni di sini,Ahad.
Beliau berkata apa yang penting, Pemuda MCA harus bersama-sama dengan pergerakan Pemuda parti komponen lain dalam BN bagi memastikan kekuatan BN kerana kepentingan parti harus mengatasi kepentingan individu, kumpulan atau puak tertentu.
Hishammuddin turut meminta Pemuda MCA supaya sentiasa merapatkan barisan kerana cabaran dan ujian seumpama itu adalah perkara biasa dalam dunia politik.
"Kalau jawatankuasa Pemuda MCA digantung, Umno pula pernah diisytiharkan haram.Ini tidak bermakna perjuangan habis di situ, malah kita tengok Umno sekarang lebih kuat, lebih kukuh dan kepimpinannya lebih matang."Ujian sebegitu harus dijadikan sebagai satu pengajaran (oleh Pemuda MCA) tetapi pada masa yang sama, Pemuda MCA tidak harus lemah semangat, tidak putuskan usaha dan komitmen mereka untuk pastikan BN sentiasa menjadi wadah dan pilihan orang ramai," katanya.